Search for keyword

 

Feng Shui Indonesia

Tahun Monyet Kayu - Tahun Penuh Konflik

Majalah MASSA
17 - 23 Januari 2004

Monyet berada di bawah elemen logam manakala tahun 2004 ini adalah tahun bagi elemen kayu. Berdasarkan ramalan feng shui logam akan memotong kayu dan ia dipercayai akan menimbulkan pertentangan tertentu.

"KETIGA hampir tiba di garisan penamat tiba-tiba si tikus yang berada di atas kepala sang lembu terus melompat dan berjaya mendapat tempat pertama. Tindakan bijak tikus itu membolehkan ia menewaskan semua haiwan lain termasuk lembu, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan khinzir."

Pasti ramai yang mendengar kisah legenda Cina ini, bilaman semua haiwan dijemput oleh Maharaja China suatu ketiga dulu untuk bertanding dalam satu perlumbaan sempena sambutan hari lahirnya. Ia akhirnya diterima di kalangan masyarakat Cina sebagai kalendar tahun atau lebih dikenali dengan nama Kalendar Lunar Cina.

Penerimaan terhadap kalendar berasaskan 12 haiwan ini merentasi batasan kaum dan agama. Tanya sahaja mana-mana orang Melayu atau India di Malaysia, pasti setiap orang tahu jenis tahun haiwan masing-masing. Malah kepercayaan tertentu berdasarkan sifat haiwan-haiwan ini sedikit sebanyak diterima oleh segenap lapisan masyarakat. “Kau ni Mamat beranak tahun monyet, itulah sebabnya buas, suka panjat pokok sana sini,” itulahlah antara dialog biasa masyarakat Melayu.

Tanggal 22 Januari ini, masyarakat Cina di seluruh dunia akan menyambut tahun baru dan kedatangan tahun Monyet pasti membawa maksud yang berbeza.

“Tahun ini adalah tahun Monyet Kayu. Mengikut ramalan feng shui tahun ini adalah yang agak berkonflik dan dipercayai bukanlah satu tahun yang mudah” kata Ketua Eksekutif dan Pengarah World of Feng Shui Sdn. Bhd. (WOFS) Jennifer Too kepada MASSA.

Mengikut kitaran kalendar Cina, setiap haiwan mempunyai atau membawa unsur tertentu. Sebagai contoh tikus dan khinzir membawa unsur air, lembu, naga, anjing dan kambing (tanah), monyet dan ayam jantan (logam), ular dan kuda (api), harimau dan arnab (kayu). Manakala setiap tahun pula akan diwakili oleh lima unsure iaitu logam, air, kayu, api dan tanah. Kitaran setiap elemen dengan kesemua 12 haiwan ini akan mengambil masa 60 tahun.

“Monyet berada di bawah elemen logam manakala tahun 2004 ini adalah tahun bagi elemen kayu. Justeru berdasarkan ramalan Feng Shui, logam akan memotong kayu dan inilah yang dikatakan akan menimbulkan konflik dan pertentangan tertentu,” cerita Jennifer.

Bagaimanapun, menurut wanita muda ini, konflik itu dapat dielakkan dengan mengambil langkah tertentu. Contohnya mengikut kepercayaan feng shui dengan menyimpan sejenis alat yang dipanggil mini golden fan bertujuan untuk mempertahankan diri daripada kecelakaan.

Selain itu jelas Jennifer, konflik, untung atau baik buruk nasib seseorang individu juga bergantung kepada tahun kelahirannya. Berdasarkan ramalan feng shui terkemuka di WOFs untuk Tahun Monyet Kayu ini bagi mereka yang dilahirkan pada tahun tikus lembu ular kuda dan khinzir mereka digalakkan agar terus memandang ke depan kerana tahun ini adalah tahun yang akan membawa tuah kepada mereka.

Manakala bagi yang berada dalam tahun naga kambing ayam jantan dan anjing mereka dikatakan akan menghadapi sedikit rintangan untuk berjaya dalam tahun 2004 ini. Tetapi bagi mereka di tahun harimau arnab dan monyet disarankan agar lebih berhati-hati kerana tahun ini adalah tahun yang mendukacitakan bagi mereka.

Walau bagaimanapun secara keseluruhannya tahun ini dipercayai adalah tahun yang sangat baik bagi industri berasaskan hasil tanah. Malah oleh kerana monyet membawa elemen logam menurut Jeniffer industri komputer juga dijangka mempunyai prospek yang lebih baik pada tahun ini.

Selain itu dalam Tahun Monyet Kayu masyarakat Cina tidak digalakkan berkahwin kerana dikatakan tahun yang kurang baik. Sebaliknya menurut feng shui ia adalah tahun yang sesui untuk mendapatkan anak. Tetapi tegasnya ini tidaklah bermakna sepanjang tahun seseorang itu tidak dibenarkan berkahwin. Dalam feng shui sendiri ada pula bulan hari serta waktu-waktu tertentu yang dianggap sangat membawa tuah.

“Jadi masa hari ‘ong’ itu pasangan boleh berkahwin “ujurnya. Tahun ini selain dikenali sebagai Tahun Monyet Kayu ia juga ditunggu-tunggu di kalangan masyarakat Cina kerana 4 Februari ini adalah tahun ‘The New Period of Eight’. Mengikut kiraan feng shui the new period tiba selepas 20 tahun berdasarkan kiraan kalendar solar.
Tahun ini adalah tahun terakhir bagi period ke-7 dan dengan pertukaran ke period ke-8 pada Februari ini ia dijangka membawa banyak perubahan dalam kehidupan masyarakat Cina.

Bagi Penolong Editor majalah Feng Shui World Phillip Lim walaupun keteguhan kepercayaan masyarakat Cina hari ini terhadap adat dan budaya tidak sekuat masyarakat dahulu namun amalan-amalan tertentu masih tetap diamalkan.

“Masyarakat Cina sehingga ke hari ini terus mengamalkan tradisi berkumpul untuk makan malam semasa Tahun Baru Cina malah pemberian ang pau dan amalan lain termasuklah kepercayaan terhadap tahun haiwan masih banyak diikuti oleh kaum Cina” jelas Phillip.

Sebagai contoh Seninar Lillian Too’s Feng Shui Extravaganza yang diadakan oleh WOFS di sebuah hotel terkemuka di ibu negara baru-baru ini mendapat sambutan hangat di kalangan masyarakat Cina. Malah ada juga anggota kaum lain menyertai seminar tersebut.

Sambutan hebat feng shui di seluruh dunia sehingga kini membolehkan WOFs melebarkan sayap perniagaan dan perkhidmatannya kepada 15 buah cawangan. Selain tujuh cawangan di Malaysia WOFS juga mempunyai cawangan di Brunei, Singapura, Jakarta, Calcutta, Sydney, dan Las Vegas.

Setiap cawangan selain menawarkan perkhidmatan feng shui ia turut menjual pelbagai barangan menarik yang berkaitan dengan bidang itu. Antaranya dragon carp mystic knot jade loyang cermin kecil dan patung Pi Yao.